Bismillahirahmanirahim.
Nasihat dari seorang muslimin kepada muslimin
"Bila seseorang muslimah menerima lamaran anda,, ketahuilah bahawa muslimah itu telah memberikan kepercayaannya kepada anda - yang mana kepercayaan itu mungkin tak pernah diberi kepada mana-mana muslimin sebelum anda.
Isunya adalah sebuah kepercayaan dan pengharapan yang sewajarnya terus dibina, dibajai, bukan diberi racun atau diranapkan pula. Tidakkah patah hati muslimah itu, jika separuh hatinya telah diberi kepada anda, tetapi di ketika yang sama anda masih mencari, melayan atau menjalin kasih dengan perempuan yang lain pula?
Tidakkah kasihan anda padanya, jika kerana kecuaian dan kegopohan anda, dia menjadi hilang percaya dan tawar pula hatinya untuk menjadi suri kepada rumahtangga yang bakal dibina? Kata orang, jika tidak mahu, jangan cuba-cuba. Jika tidak bulat tekadnya, usahlah ikat dan rantai si dia. Dunia ini untuk diisi dengan keadilan dan kebaikan, bukan kezaliman dan penindasan.
Jarang sekali muslimat berpaling hati mencalar setia, sedang untuk jatuh hati bukanlah suatu yang mudah bagi mereka. Tetapi bagi yang tidak pernah mahu menghargai, nilaian kepercayaan itu seolah tiada makna bagi mereka. Hati-hati menambat perahu, jangan sampai tertanggal kayunya. Hati-hati mengikat hati, jangan sampai tergadai segalanya."